Assalamualaikum... dulu pernah penulis menulis artikel pasal sedekah (sila lihat posting bertajuk 'sedekah: tangan yang mulia itu..') Cuma kali ini penulis ingin memanjang sikit kalam penulis terhadap situasi si miskin itu. Apa perasaan anda sekiranya anda terjumpa dengan si miskin tersebut di sebuah kedai kopi, dan anda mendapati dia berpakaian cantik dan segak dan percakapannya begitu sombong sekali? Apa pendapat anda kalau tiba-tiba anda terdengar si miskin berkata: "sekarang ni aku banyak duit. Mana ada aku nak mengharap pada orang lagi? Dalam kampung ini, aku adalah orang terkaya!" dan dalam pada masa tersebut, ada seorang pengemis sampai di kedai kopi tersebut lalu mendekatinya. dan anda mendengar dia berkata: "Nyah kau dari sini! Dasar si peminta sedekah tak tahu malu! Sikit-sikit meminta. Carilah duit sendiri? pergilah bekerja! Tak boleh tengok orang kaya sedikit!ha.. apa perasaan anda? Menyampah? Menyumpah? Rasa geli? Rasa Loya? atau tidak dapat dipastikan kerana telah bercampur 1001 rasa?
Sahabat, itulah wajah kita sebenarnya. kita lahir tanpa seurat benang. tanpa kekuatan, tanpa kudrat. tanpa sebarang kecerdikan. Kita mempunyai otak sewaktu dilahirkan, namun otak kita kosong. Kita lahir dalam serba kemiskinan. Tidak ada seorang pun lahir di dunia ini dengan berbaju. Tiada siapa pun lahir dengan mempunyai kekuatan. Tidak seorang pun yang lahir penuh dengan ilmu pengetahuan. Semuanya terserah kepada Kudrat Iradah Allah, Tuhan yang Maha Kuasa untuk menentukan nasib kita. kepadaNya kita pasrah..
Dan apabila dah sekian lama hidup di sini, Allah telah mencukupkan nikmatNya pada kita. Sehinggakan kita terlupa, kita juga mengemis dengan Tuhan. Kita juga meminta dariNya. Dan Tuhan dengan sifatNya yang Maha Pemurah telah mencampakkan kepada kita kesenangan. Dia memberi kita pakaian. Dia memberi kita kekuatan. Dia memberi kita keupayaan untuk berfikir dan menaakul. Dan apabila kita dianugerahi bermacam-macam nikmat, kita pun berlagak sombong persis si miskin dipermulaan cerita tadi.
Kadang-kadang dengan tidak sedar, kita terlupa status kita dahulu. Kita telah menjadi kedekut untuk memberi. Kita lebih suka mendengar cerita kesukaran kawan kita membesarkan anak-anaknya setelah kematian suaminya, tanpa kita terasa sedikitpun untuk membantu kesempitan hidupnya. Kita begitu simpati mendengar kawan kita diragut atau handphone nya dicuri. Tapi kita sedikitpun tidak tergerak untuk menghulurkan sebarang bantuan berbentuk kewangan kepadanya.
Ketahuilah, rezeki yang berada di dalam poket kita itu pun ehsan Tuhan. Apa salahnya kalau kita berkongsi sedikit nikmat Tuhan yang dianugerahkan kepada kita dengan seseorang. Jangan kita menjadi seperti si miskin yang bongkak di kedai kopi tadi. Apabila sudah kaya, diherdiknya orang yang meminta. Sudahkah dia sudah lupa bahawa suatu masa dahulu dia juga pernah meminta..
Sahabat, bukalah tanganmu luas-luas. bersedekahlah. Bukankah Allah telah berjanji akan membalas setiap perbelanjaan yang dikeluarkan pada jalanNya. Bukankah berkasih-sayang sesama muslim itu salah satu tuntutan bagi orang berada pada jalanNya. Semoga dengan bersedekah sudah menjadi darah dagingmu, rezekimu akan makin bercambah dengan sikap pemurahmu itu. Hendaknya kita akan tergolong di antara hambaNya yang begitu bersyukur di atas kurniaanNya selama ini. amin.
salam:








